| Mobile| RSS

HURU HARA DULU, PILIHANRAYA KEMUDIAN?


DUN Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat?

Itulah yang giat diperkatakan sekarang. Kononnya, jentera BN Perak sudah pun diarahkan bersedia untuk menunggu arahan seterusnya daripada Najib. Malah foto kempen juga sudah diambil dan tinjauan pendapat rakyat Negeri Perak sudah dijalankan. SPR pula sudah mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ke-3/2009 (Perak) untuk semakan dan bantahan. Rang tersebut akan dipamerkan mulai 20 hingga 26 Oktober 2009.

Mengikut perkiraan sesetengah pihak, BN dijangkakan akan menang dengan majoriti mudah jika pilihanraya kecil diadakan pada waktu terdekat ini. Bagaimanapun, pembubaran DUN Perak hanya akan dibuat selepas Sidang DUN Perak yang akan bermula pada 28 Oktober ini kerana BN dikatakan mahu keadaan huru-hara tercetus sekali lagi dalam sidang DUN itu nanti.

Kenapa huru-hura akan berlaku sekali lagi?

Mengikut perkembangan terkini, 28 ADUN Pakatan Rakyat yang pada mulanya tidak mahu hadir, telah pun mengesahkan kehadiran mereka. ADUN Pakatan Rakyat pula tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah kerana perlantikannya pada 7 Mei 2009 tidak selaras dengan Perkara 36A(5), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Mengikut Perkara 36A(5), seseorang yang memegang jawatan awam iaitu speaker mestilah melucutkan atau memberhentikan dirinya daripada menjawat atau mendaftar dengan mana-mana jabatan dan pertubuhan yang boleh memberikan keuntungan kepada dirinya.

Menurut dakwaan PR di Perak, dalam tempoh 3 bulan Ganesan mendakwa dirinya sebagai speaker, beliau masih lagi berdaftar dengan Majlis Peguam sebagai pengamal undang-undang yang aktif. Perkara ini telah disahkan oleh Majlis Peguam sendiri yang memberitahu, Ganesan hanya mengangkat sumpah meletak jawatan pada 17 Ogos lalu.

Jika perlantikan Ganesan tidak sah, maka Sivakumar masih lagi Speaker DUN Perak yang sah sehingga usul tidak percaya dijalankan ke atasnya. Keadaan ini tentunya akan menimbulkan huru-hara kerana wakil rakyat PR sudah pasti akan berjuang mati-matian untuk mempertahankan kedudukan Sivakumar. Dan BN pula, tentunya akan mencuba habis-habisan mempertahankan kedudukan Ganesan.

Maka tidak mustahil kekacauan dalam Sidang DUN Perak akan berulang sekali lagi. Jika keadaan ini berlaku, tentunya BN akan menggunakan rakaman video “aksi terlampau YB Pakatan Rakyat” dalam persidangan itu nanti sebagai modal kempen mereka. Jika taktik ini menjadi pilihan BN, sebilangan pengundi yang “tak tahu apa” tentunya akan termakan dengan kempen sebegitu.

Peluang Pakatan Rakyat Agak Tipis?

Tidak dapat dinafikan lagi, krisis di Perak semakin ‘sejuk’ dihati rakyat Perak mahupun Malaysia. Mahu atau tidak mahu, jentera Pakatan Rakyat di Perak amat memerlukan satu peledak ajaib untuk membangkitkan kembali sokongan pengundi kepada mereka. Jika tidak, peluang untuk mereka menang akan tipis.

Pakatan Rakyat kini tidak lagi boleh bergantung harap pada kuasa media baru seperti internet dan blog untuk mengetengahkan perjuangan mereka. Ini adalah kerana, BN juga sudah mempunyai jentera mayanya sendiri yang sudah mula mendapat tempat di alam maya. Keadaan ini dapat disaksikan dalam PRK Bagan Pinang di mana jentera maya BN berjaya memberikan saingan dan liputan yang meluas kepada calon dan kempen mereka.

Selain itu, penubuhan parti Makkal Sakti pula dilihat sebagai satu kelebihan buat BN untuk mendapatkan kembali sokongan kaum India. Penubuhan parti ini dijangkakan mampu menarik sokongan pengundi India yang telah lari dari parti MIC. Tidak seperti PRU 2008, kali ini Pakatan Rakyat terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi India.

Jika kekuatan Pakatan Rakyat hanya bergantung pada undi kaum Cina, maka tidak mustahil BN akan berjaya di Perak dengan sokongan pengundi Melayu dan India. BN pastinya akan memainkan isu derhaka serta isu kuil dan arak di Selangor untuk menarik sokongan pengundi Melayu. Jika tempoh berkempen hanya ditetapkan seminggu, maka Pakatan Rakyat akan bertarung dengan waktu untuk membalas kempen BN.

Apapun, masih terlalu awal untuk menilai peluang BN mahupun PR di Perak jika DUN Perak jadi dibubarkan. Biarkanlah dahulu khabar angin itu bertiup kencang kerana sekurang-kurangnya, orang ramai akan terus mengingati krisis di Perak.

Selingan : Video Krisis Perak











TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in , | 0 comments [ More ]

BERUBAH UNTUK AKHIRAT!


Tatkala anda sedang menonton ucapan penggulungan Dato’ Seri Zahid Hamidi di TV3, tiba-tiba, TV LCD yang baru anda beli dengan ansurans kad kredit itu tumbang ke dinding belakang.

Sofa yang anda duduki pula bergerak tak tentu hala dan kepala anda pula terasa seperti dihujani sesuatu. Bila anda pandang ke atas, rupa-rupanya syiling rumah anda sudah pecah dan gugur ke lantai.

“Gempa bumiiiiiii !!!”

Anda menjerit dalam hati dan cuba untuk bergerak ke muka pintu.

Gegaran yang anda rasakan kini semakin kuat mengoncang tubuh anda. Dengan kudrat yang ada, anda cuba untuk membuka pintu. Setelah beberapa kali mencuba untuk membuka pintu yang ‘tiba-tiba’ ketat itu, anda berjaya juga keluar ke halaman rumah.

“Astagfirullah al-Azim,”

Apa yang mata anda dapat saksikan kini adalah sesuatu yang amat dasyat. Di hadapan diri anda, ada satu gelombang besar yang amat ganas sedang menuju ke arah anda. Bunyi dentuman dan letupan yang kuat pula kian menyakitkan gegendang telinga anda.

Diri anda hanya terpaku di situ. Anda tidak dapat berfikir apapun – hanya mampu untuk memerhatikan gelombang besar itu yang semakin hampir ke halaman rumah anda. Jiran-jiran di sebelah rumah anda juga seperti itu.

Tiba-tiba, mata anda dapat melihat susuk tubuh makhluk yang tidak pernah anda lihat sebelum ini.

“Siapakah dia?” tanya diri anda.

Dengan sekelip mata, gelombang besar tadi pun mengangkat anda ke atas. Kini, anda dapat melihat dengan jelas yang kawasan persekitaran rumah anda sudah hancur. Namun makhluk yang anda lihat tadi masih ada di hadapan anda.

Air laut yang masin serta bercampur sampah-sarap sudah mula masuk ke dalam salur pernafasan anda. Dada anda terasa sakit yang amat sangat. Kaki anda terasa sejuk dan kebas. Namun makhluk tadi hanya memerhatikan sahaja kesengsaraan anda.

“Tolonglah saya…” Anda cuba meminta tolong pada makhluk itu.

“Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari ini, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. [Al-Qiaamah: 11-12]..” kata makhluk itu.


NOTA : Video di bawah ini hanya sekadar untuk membayangkan keadaan hari kiamat. Sebagai umat Islam, tarikh dan waktu sebenar hari kiamat adalah rahsia Allah SWT. Tiada siapapun yang boleh menjangkakan waktu itu.






TANDA-TANDA KIAMAT


Berkata Ali bin Abi Talib:

“Akan datang suatu masa, Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuknya sahaja, al-Quran hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama-nama Allah.

Orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga dan semua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."

Manusia akhir zaman akan menghadapi pelbagai ujian sehingga apa yang berlaku amat tidak masuk akal seperti binatang manusia itu dikatakan menjadi begitu sesat.

Jika dahulu Allah SWT menurunkan bala di atas keterlaluan manusia yang melanggar perintah-Nya maka sekarang manusia seolah-olah tidak sedar bahawa mereka sedang ditimpa bala. Pengajaran demi pengajaran tidak diambil endah. Semua ini berlaku disebabkan manusia tidak pernah merasa puas. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari kepuasan nafsu. Ingatlah sesungguhnya kita dilahirkan dalam keadaan menangis, orang sekeliling tersenyum gembira.

Beramallah agar kita mati dalam keadaan tersenyum, orang sekeliling menangis kerana peninggalan kita. [sumber]


TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in , | 0 comments [ More ]

INIKAH YANG DIKATAKAN PEMBAHARUAN?


Berikut adalah tulisan Sdra. Azli Shukri yang patut difikirkan:

Saya menyambut baik perubahan yang akan dilaksanakan dalam perlembagaan UMNO kelak - namun begitu, hanya satu sahaja pertanyaan saya iaitu : Apakah semua ahli UMNO boleh bertanding tanpa perlu ada kouta dan syarat-syarat tersembunyi yang tidak kelihatan?

Saya difahamkan, di dalam pindaan perlembagaan UMNO yang akan dilakukan kelak terdapat syarat tertentu untuk melayakkan seseorang ahli itu bertanding bagi merebut jawatan tertinggi di dalam parti, umpamanya kelayakan seseorang yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, haruslah sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut dan selepas itu, barulah seseorang itu layak dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam hal ini, saya merasakan bahawa ia masih belum memenuhi aspirasi sebenar ahli UMNO akar umbi. Sebaliknya, UMNO masih mengamalkan konsep hanya segelintir yang "sedang berkuasa" sahaja, yang berkelayakan untuk bertanding.

Cubalah tuan-tuan fikirkan syarat yang tersenarai di bawah ini - adakah ia adil dan kelihatan adil? disamping memenuhi kehendak dan aspirasi ahli-ahli UMNO akar umbi yang sebenarnya? Wallahualam.

1. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya telah menjadi Timbalan Presiden selama dua penggal berturut-turut.

2. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Naib Presiden untuk dua penggal berturut-turut.

3. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Naib Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 2 penggal berturut-turut.

4. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO/Ketua Wanita/Ketua Puteri : Sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan tersebut selama dua penggal berturut-turut.

5. Semua syarat ini turut akan dilaksanakan di semua peringkat kepimpinan UMNO, sama ada di peringkat Bahagian mahupun Cawangan. Kekecewaan saya hanya satu. Akhirnya ahli-ahli UMNO biasa yang digelar sebagai akar umbi seperti saya ini, tetap juga tidak mempunyai kuasa untuk memilih dan mencalonkan sesiapa yang kami fikirkan baik untuk parti.

Malah, adalah sangat jelas bahawa syarat-syarat tersebut hanya menjadi kekangan serta duri dalam daging bagi mana-mana individu yang berpotensi dan amanah dalam perjuangan, untuk pergi lebih jauh di dalam parti.

Semua syarat di atas pada realitinya hanya akan menyebabkan ahli akar umbi UMNO sudah tiada lagi pilihan calon yang banyak dan berkaliber untuk diketengahkah - akibat daripada syarat yang telah dikenakan itu.

Walaupun perlembagaan UMNO akan dipinda dengan mengizinkan lebih daripada 140 ribu ahli boleh mengundi - tetapi apakah maknanya semua itu, jika pilihan yang kami ada untuk mengundi calon yang layak adalah terhad?

Saya mengambil satu contoh, jika ada seseorang ahli Pemuda UMNO yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, individu tersebut tidak akan boleh bertanding sehinggalah dia menjadi EXCO Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut - akhirnya Pemuda UMNO akar umbi tetap tiada pilihan, melainkan hanya terus menyokong Ketua Pemuda UMNO yang sedia ada.

Malah, sehingga kini, saya merasakan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang berkelayakan untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia - lantaran tidak memenuhi syarat yang diperlukan seperti di atas.

Pada saya adalah tidak adil jika pucuk pimpinan tertinggi UMNO kelak hanya akan dipilih dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO semata-mata.

Bahkan adalah sesuatu yang karut juga, andaikata calon jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia hanya boleh dipilih dalam kalangan ahli EXCO Pergerakan Pemuda itu sahaja. Ini bukanlah demokrasi namanya, sebaliknya ia hanyalah sebuah ilusi.

Memanglah ahli UMNO akar umbi diberi kuasa untuk membuang undi, namun demikian, pilihan yang kami ada sebenarnya adalah terhad. Saya mengharap UMNO dapat menilai semua ini. Wallahualam.


TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in , | 0 comments [ More ]

UMNO/BN MENANG BERGAYA DI BAGAN PINANG

Tan Sri Isa Samad, calon UMNO/BN menang bergaya bila berjaya memperbaiki rekod PRU 2004 dengan meraih lebih 5 ribu undi majoriti.

Calon PAS tewas di semua peti undi dan jumlah undi yang diperolehi PAS ternyata merosot teruk.

Keputusan ini cukup untuk menggambarkan yang rakyat dan pengundi di Malaysia semakin bijak untuk mengenakan mana-mana parti yang gagal memenuhi aspirasi mereka.

Syabas kepada jentera UMNO dan BN di PRK Bagan Pinang.





Berikut adalah komen dari Editor Harakah:


Mungkin banyak hikmahnya buat Pakatan Rakyat jika calon PAS belum ditakdirkan menang di Bagan Pinang selepas gabungan tidak rasmi tiga parti itu mencatat rekod kemenangan 7-0 melalui siri pilihan raya kecil di Semenanjung yang diadakan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Ya, tidak elok juga jika "asyik menang dan tidak kalah-kalah" sehingga menyelinap rasa ego-sombong buat Pakatan, atau menyuntik rasa cemas keterlaluan buat Umno-BN sehingga mencetuskan aksi di luar dugaan yang tidak menguntungkan sesiapa.

Bagi saya, Pakatan perlu "masa bertenang" untuk mempertingkat keupayaan setiap parti untuk menyerap segala masalah berbangkit sekali gus mempamerkan solidariti yang "tidak dibuat-buat" agar keyakinan rakyat dapat ditambat seutuhnya.

Umum mengetahui bahawa BN tidak mampu lagi menarik kepercayaan rakyat, namun sokongan tidak semestinya automatik berpaut kepada Pakatan jika kesepaduan antara PAS-DAP-KeADILan nampak goyah, apatah lagi sekiranya persefahaman mantap di negeri-negeri memerintah khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Kedah gagal dizahirkan.

Rakyat menyokong ketiga-tiga parti alternatif itu dalam pilihan raya umum lalu bukan sangat disebabkan mereka tertarik dengan polisi atau dasar baru tetapi lebih berpunca daripada "rasa meluat yang amat sangat" terhadap gelagat negatif dan kerakusan pemimpin BN yang berkuasa sejak 50 tahun lalu.

Sokongan itu bersyarat ketat dan sentiasa diperbaharui 'kontraknya'. Jika penyakit 'orang atau parti berkuasa' yang melemaskan Umno-BN turut menimpa Pakatan, tidak mustahil tempoh memerintah beberapa negeri itu hanya sekadar satu penggal.

Rakyat semakin bijak menilai-menghakimi prestasi pemerintah (Pakatan dan juga Barisan) dan kesetiaan mereka kepada mana-mana parti kian longgar.






TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

UMNO TAK MENANG, PAS TAK KALAH?


1) Lebih kurang jam 8 malam ini, SPR dijangka akan mengumumkan pemenang bagi PRK DUN Bagan Pinang. Sehingga ke saat ini, semua pihak masih berteka-teki mengenai keputusan yang bakal diumumkan nanti. Tidak ramai penganalisis yang berani untuk meramalkan pihak manakah yang akan menang.

2) Jika pada awalnya UMNO dan BN dijangka akan menang mudah, namun ramalan itu telah bertukar di saat-saat akhir. PAS kini dilihat mampu untuk menumbangkan UBN atau setidak-tidaknya akan mampu mengurangkan majoriti yang bakal dimenangi oleh UBN.

3) Apa yang dapat ditafsirkan kini, selain daripada undi pos, satu-satunya kelebihan yang bakal memenangkan UBN adalah kerana faktor calonnya yang begitu dikenali oleh pengundi Melayu di DUN Bagan Pinang. TS Isa Samad ibarat DS Anwar di Permatang Pauh. Biar apapun yang diperkatakan oleh parti lawan tentang diri mereka, pengundi Melayu di kawasan mereka akan tetap memilih mereka.

4) Namun begitu, apa yang merunsingkan UBN kali ini adalah mengenai selera pengundi muda. Diramalkan lebih 50% pengundi muda dalam PRK kali ini yang hanya duduk di atas pagar. Golongan inilah yang dijangka akan menjadi penentu kepada nasib UBN. Jika golongan ini masih memilih PR sepertimana yang ditunjukkan dalam siri pilihanraya yang lalu, sudah tentu PAS mampu menang di Bagan Pinang.

5) Dalam PRK kali ini, UBN dijangka akan menguasai undi pos dan PAS pula dijangka akan mendapat sokongan padu dari pengundi Cina dan juga India. Kekuatan kedua-dua pihak dijangka seimbang. Maka dengan itu, undi pengundi muda amat diperlukan oleh kedua-dua pihak untuk memastikan kemenangan mereka di Bagan Pinang.

6) Pada saya, PRK kali ini amat penting untuk menilai tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan BN dan juga Pakatan Rakyat pada masa hadapan. Jika BN hanya menang dengan majoriti tipis dan kalah di saluran 3 & 4, maka bolehlah disimpulkan yang BN semakin menghampiri era kejatuhannya.

7) Jika BN masih mampu menang dengan majoriti besar dan menguasai pengundi di saluran 3 & 4, maka PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa mengakui dan memperbetulkan segala kelemahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan sejak PRU 2008 berlalu.


TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

CATATAN UNTUK BAGAN PINANG


Dosa Besar Yang Sering Dipinggirkan…

Salah satu daripada 7 dosa besar adalah memakan riba. Kesalahan memakan riba ini diibaratkan seperti mengistiharkan perang ke atas Allah dan RasulNya. Bahkan, ada hadis yang menyebutkan bahawa dosa riba adalah sama dengan dosa 30 kali berzina. [sumber]

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini sudah banyak bank-bank di negara ini yang telah memperkenalkan produk-produk kewangan yang bebas dari amalan riba. Sebagai umat Islam yang bertaqwa, maka sewajibnya mereka hanya akan memilih produk-produk kewangan yang bebas riba.

Di Malaysia, tidak ada undang-undang yang mewajibkan umat Islam di negara ini supaya memilih produk-produk kewangan yang bebas daripada amalan riba sahaja.

Ertinya, umat Islam di negara ini bebas untuk memilih mana-mana produk kewangan yang mereka sukai. Tidak seperti kesalahan berzina, minum arak atau mencuri yang boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Biarpun tidak ada undang-undang yang mewajibkan umat Islam supaya menjauhi riba di negara ini, namun ramai umat Islam di negara ini yang telah memilih untuk menukar produk kewangan konvensional mereka kepada produk kewangan yang bebas dari riba. Mengapa ini boleh berlaku?

Jawapannya mudah sahaja. Ini adalah kerana mereka ingin mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan keredhaan itu hanya akan dapat diperolehi dengan sedaya-upaya menurut segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang olehNya.

Selingan: Video Rakaman Azeez Dipukul Penyokong PAS?




Hishamudin Kata PAS Ganas!



Markas PAS Diserang!




TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

MELAYU BAGAN PINANG UNDI SIAPA?


1) Dari awal lagi, para penyokong PAS tidak berani untuk menaruh harapan tinggi di PRK Bagan Pinang. Lebih-lebih lagi, 35% pengundi dalam PRK kali ini adalah pengundi pos dan Bagan Pinang pula sudah dikenali sebagai kubu kuat UMNO sejak dulu lagi.

2) Namun begitu, bila UMNO terpaksa memilih Isa Samad sebagai calon terbaiknya, para penyokong PAS kelihatan bersemangat semula. Kesilapan yang UMNO lakukan dalam PRK Permatang Pasir nampaknya berulang kembali. UMNO boleh tewas sekali lagi kerana faktor calon.

3) Dr. Mahathir sendiri memang tak setuju kalau Isa dipilih sebagai calon. Katanya, UMNO kena utamakan calon yang tiada rekod buruk. Jika tidak, rakyat dan pengundi tak dapat melihat reformasi yang cuba dilakukan oleh UMNO. Tetapi, penyokong Isa Samad ada alasan sendiri untuk menyanggah saranan Dr. Mahathir.

4) Kata penyokong Isa Samad, nasib yang dialami oleh Isa pada 2004 adalah sama seperti jalan cerita yang menimpa Ali Rustam. Mereka berdua dikatakan mangsa percaturan politik kumpulan tertentu. Lagipun, satu dunia dah tahu permainan rasuah dalam UMNO. Kalau tak ‘main’ duit, tak usah berniatlah nak bertanding jawatan ketua bahagian pun.

5) Penyokong Isa Samad memang mahukan beliau sebagai calon. Jika ditakdirkan Isa menang, jawatan Exco seakan sudah pasti dalam genggamannya. Ada juga yang berkata, peluang Isa untuk menjadi kembali Menteri Besar Negeri Sembilan memang cerah berdasarkan kepada kredibiliti Mohamad Hasan yang jelas tercalar sejak PRU 2008 dahulu.

6) Lalu, bila Isa terpilih sebagai calon, maka ramailah ‘pemodal’ yang mendekatinya semula. Golongan pemodal ini tahu, inilah peluang terbaik untuk mereka membuat pulangan berlipat kali ganda. Apa yang pemodal ini pentingkan bukanlah untuk menyelesaikan masalah rakyat. Sebaliknya, mereka ini lebih pentingkan apa yang boleh dibaham dari peruntukan yang disediakan untuk rakyat Negeri Sembilan.



7) Mengikut rekod, 32% pengundi di DUN Bagan Pinang adalah terdiri daripada kaum Cina dan India. Berdasarkan andaian pihak tertentu, PAS dilihat mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 25% atau 2,700 undi dari kaum Cina dan India.

8) Manakala BN pula diramal mampu mendapat majoriti besar dalam peti undi pos. Peluang untuk BN mendapatkan 3 ribu undi dari peti undi pos amat cerah sekali.

9) Apa yang PAS dan BN bimbangkan adalah undi kaum Melayu yang mewakili 62% pengundi di DUN Bagan Pinang. Persoalannya kini, siapakah pilihan pengundi Melayu di DUN Bagan Pinang? Bagi sesetengah penganalisis, perang undi kaum Melayu dalam PRK kali ini adalah di antara “Isa dengan PAS” dan bukannya antara “UMNO dengan PAS”.

10) Bila Hj Hadi yang juga Presiden PAS meramalkan PAS mampu menang dalam PRK kali ini, ramalan itu kelihatan realistik untuk menjadi kenyataan jika sentimen pengundi Melayu dalam siri PRK yang lepas diambil kira. Maka tidak mustahil PAS boleh menang dengan majoriti yang kecil.

11) Situasi inilah yang amat dibimbangkan oleh UMNO dan BN. Mahu atau tidak mahu, BN mesti mengekalkan majoriti PRU 2008 atau mendapatkan lebih dari itu. Jika tidak, BN akan dilihat masih belum menampakkan tanda-tanda pemulihan yang begitu ketara. Jika BN hanya mendapat majoriti kecil, sudah pasti PAS akan mendapat kemenangan moral untuk dijadikan bekalan dalam pilihanraya akan datang.

12) Kini, PRK Bagan Pinang yang sebelum ini dilihat lebih memihak kepada BN kelihatan bertukar menjadi satu pertandingan yang sengit. Kedua-dua pihak dilihat berpotensi untuk menang dan kalah. Apapun, UMNO dan BN masih mempunyai sedikit kelebihan yang boleh menarik perhatian pengundi kerana pentadbiran negeri masih dikuasai UMNO dan BN.

13) Jika pengundi di DUN Bagan Pinang mahukan penyelesaian segera terhadap masalah di tempat mereka, sudah tentu mereka akan memilih BN. Buat masa ini, pakar strategis UMNO tentunya sedang pening memikirkan isu yang paling sesuai untuk dijadikan modal berkempen mereka kerana kesilapan memilih isu yang sesuai boleh mengundang padah pada jentera mereka.

14) Kali ini. jentera PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa bekerja lebih keras untuk memancing undi. Jika mereka gagal merancang strategi yang tepat, sudah pasti siaran TV dan radio di Malaysia akan meraikan kemenangan BN untuk berbulan-bulan lamanya.

15) Apapun, selamat mengundi kepada semua pengundi di PRK Bagan Pinang. Jalankan tanggungjawab anda dengan sebaik-baiknya kerana setiap yang kita lakukan di dunia ini akan mendapat pembalasan samada di dunia dan juga di akhirat.

Nota: Salam Aidilfitri kepada semua sahabat maya, blogger dan pengunjung setia blog ini.



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

Ingin beriklan di sini? Klik di sini sekarang!

Nak tahu cara dapatkan FREE streamyx?

Klik sini dapat duit! Biar betik?

"Setiap Klik Anda Membantu Blog Ini Untuk Berkembang"

KALIMAH ALLAH