| Mobile| RSS

KALAU SAYA ADA 50 RINGGIT HARI INI?

Saya suka membaca spekulasi yang dibuat oleh Hasbullah Pit tentang jangkaan kenaikan nilai Australian Dollar berbanding ringgit [di sini].

Jika yang dispekulasikan itu benar, maka nilai Australian Dollar akan meningkat 15% dalam jangkamasa 1 ke 3 bulan akan datang.

Bila saya kira tunai dalam beg saya (lepas tolak belanja lauk basah untuk minggu ni), tinggal 50 ringgit sahaja!

Hmm.. kalau saya tukarkan 50 ringgit tu ke Australian Dollar, saya akan dapat lebih kurang $18 Australian Dollar.

Dalam masa 3 bulan akan datang, nilai $18 Australian Dollar itu bersamaan RM 56.20 sen.

Ertinya, saya untung RM 7.92 sen dalam jangkamasa 1-3 bulan!

Hmm.. untung yang saya dapat tu mungkin boleh beli seekor ayam ‘yang sedang-sedang’ kat Pasaraya Mydin nanti.

Lepas tu, saya terbaca pula ayat di bawah ini :


" Perumpamaan (nafkah yg dikeluarkan ke jalan Allah adalah serupa dgn sebutir benih yg menumbuhkan tujuh butir, pada tiap2 butir seratus biji, Allah melipat-gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengetahui” [QS AL-BAQARAH 2:261]


Dan hadis di bawah ini :

Rasulullah saw bersabda, "Setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi, yang satu menyeru " ya TUHAN, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah..."


Lepas tu, saya cuba buatkan satu carta pelaburan seperti di bawah :



Kesimpulannya, saya dah tahu pelaburan yang amat menguntungkan dengan modal RM 50 itu!

Nota : Carta yang digunakan dalam posting ini hanyalah sekadar ilusi untuk menerangkan kebaikan berinfaq ke jalan Allah SWT.



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in , | 8 comments [ More ]

PESTA BUKU JOHOR 2009



Assalammualaikum,

Buat semua penduduk Johor, Singapura dan kawasan yang berhampiran dengannya, Pesta Buku Johor 2009 akan diadakan di Danga City Mall dari 27 May - 1 Jun 2009.

Secara kebetulan, Karnival Jom Heboh TV3 pula akan berada di Danga Bay pada hujung minggu ini. Jadi, jika anda bercadang ke Jom Heboh, jangan lupa singgah di Danga City Mall untuk mendapatkan buku-buku terkini dengan harga runtuh daripada penerbit tempatan dan luar negara.

Nur Aflah Publishers juga akan berada di sana.

Untuk melihat peta dan tapak pesta, sila klik di sini.



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in , | 3 comments [ More ]

DAH SETAHUN RUPANYA...

Maafkan Saya!

Jun ini, genaplah setahun usia blog ini.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana bilangan pengunjung blog ini sudah menghampiri ½ juta orang dalam tempoh setahun. Ini bermakna, sudah beratus ribu orang yang sudah membaca ataupun terbaca artikel yang ditulis oleh saya.

Saya berharap, apa yang telah ditulis itu mampu memberikan sedikit manfaat dan sekiranya terdapat salah dan silap, saya ingin memohon ampun dan maaf daripada sesiapa jua yang telah membacanya.

Saya juga berdoa agar Allah SWT akan mengampunkan segala dosa dan kesilapan saya ketika menulis sebarang artikel di blog ini.



Perjuangan diteruskan!

Kata Ustaz Zaharuddin, “Kalau saya berceramah pun, belum tentu seribu orang akan mendengar ceramah saya dalam satu masa. Melalui blog saya berjaya.”

Apa yang beliau katakan itu memang benar. Kini blog sudah menjadi medium yang paling mudah, cepat dan murah untuk menyampaikan ilmu ataupun pendapat kita tentang sesuatu perkara. Malah, blog juga sudah mampu membuka minda rakyat Malaysia untuk berfikir, berhujah dan berkelahi; demi mencari satu kebenaran.

Melihat kepada potensi blog untuk menjadi medium dakwah yang sangat praktikal pada waktu ini dan masa hadapan, saya berharap Allah SWT akan memberikan saya lebih kekuatan untuk terus menulis ‘apa yang perlu ditulis’ sambil lebih berinteraksi dengan pengunjung blog ini yang sejak kebelakangan ini, selalu saya abaikan.

Dengan keizinanNya dan selagi direstui suami, perjuangan akan diteruskan.

Fokus dialihkan!

Sejak setahun lalu, 70% isi kandungan blog ini berkisar tentang politik. Untuk berlaku jujur pada diri sendiri, sebenarnya saya sudah ‘letih’ untuk berbicara tentang politik.

Saya fikir, eloklah saya ‘berehat seketika’ dari membicarakan isu politik kerana pada hemat saya, kerajaan BN akan tumbang pada PRU ke 13.

Kenapa saya berkata begitu? Jawapannya adalah kerana Pakatan Rakyat sudah 50 tahun berusaha untuk memikat hati rakyat. Manakala penyakit yang sedang dihidapi oleh BN sekarang tidak mampu dirawat dalam masa 3 tahun ini.

Kegagalan utama Barisan Nasional adalah kerana kegagalan mereka menjadi contoh yang baik kepada generasi muda sehingga generasi muda tidak lagi mempercayai mereka. Tidak perlu saya huraikannya di sini kerana ianya akan dihuraikan secara panjang lebar dalam buku “Kemelut Politik Malaysia” yang bakal dilancarkan pada bulan Jun nanti. Kalau sudi, beli dan bacalah.

Fokus saya kali ini adalah ekonomi, khususnya mengenai ekonomi umat Islam di Malaysia.

Bila berbicara tentang umat Islam di Malaysia, ianya bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi ianya merangkumi semua bangsa di Malaysia yang sudah mengaku, “tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”.

Apa guna negara ini digelar negara Islam contoh jika orang yang paling kaya di Malaysia bukanlah orang Islam dan orang yang paling banyak di’blacklist’ di negara ini pula adalah orang Islam?

Saya tidak akan kisah jika orang yang paling kaya di Malaysia itu nanti namanya Lim atau Anand jika mereka itu ‘saudara seagama’ saya. Dan saya juga amat berkisah jika yang di’blacklist’ itu namanya Lim atau Anand jika mereka itu ‘saudara seagama’ saya.

Saya juga berharap, anda tidak akan ‘membangsa-bangsakan’ saudara seagama saya kerana kita semua tetap sama di hadapan Allah SWT. Beza kita nanti di hadapanNya hanyalah iman dan taqwa. Bukannya parti mana atau sekaya mana kita di dunia ini.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan syukur dan tahniah kepada Kenny dan Selvy yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah. Maafkan saya kerana tidak dapat hadir ke majlis itu. Insya’Allah, saya akan hadir ke majlis perkahwinan anda berdua. Mudah-mudahan, kita akan terus bersahabat di alam maya dan alam akhirat.

Buat rakan-rakan lain yang sentiasa berkunjung atau menghantarkan komentar ke blog ini, terima kasih yang tidak terhingga kerana terus menyokong blog ini.

Nabi s.a.w menyebut :-

إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ

Ertinya : Sesungguhnya Allah, MalaikatNya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (Agama)" ( Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih).






TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in | 15 comments [ More ]

GURU TERBANGSAT


“Ayah, kenapa laki tu angkat perempuan tu letak atas katil? Lepas tu sorang lagi laki buka seluar?,” tanya seorang anak kecil sambil menonton iklan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang sedang ditayang di hadapan mereka sekeluarga.


Si ayah terkedu.

“Mak, kenapa dalam akhbar ni laki dengan perempuan ni ditangkap sebab tidur sebilik? Mak dengan ayah tidur sebilik tak kena tangkap pun,” tanya si anak itu lagi dengan penuh rasa ingin tahu.


Si ibu tersentak.

Itulah hakikat realiti hidup zaman sekarang. Kawalan anak-anak di rumah seolah-olah memburukkan lagi kehidupan si anak apabila didikan ibubapa bertentangan dengan apa yang dipertontonkan kepada anak-anak mereka saban hari. Situasi ini berlaku di sekeliling kita setiap hari dan di mana-mana jua. Namun, masih ramai golongan masyarakat yang masih jahil membawa pandangan-pandangan yang bersifat ‘falsafah kosong’ menyokong segala kemungkaran yang semakin berleluasa secara rasmi di dalam media seperti yang di‘fatwa’kan oleh ‘Nabi-nabi’ mereka – artis dan politikus.

Media Dan Pendidikan

Media merupakan salah satu ruang pendidikan yang mengajar manusia melalui pengulangan agenda di sebalik setiap paparan yang disajikan bagi mencapai keyakinan kepada setiap pembaca, pendengar, dan penonton yang mengikutinya. Keberkesanan penanaman keyakinan para pengikut media hampir tidak diragui sehingga media hari ini menjadi elemen utama dalam menyampaikan sebarang bentuk pengetahuan semasa kepada golongan massa.

Ivan Pavlov, seorang pakar psikologi, fisiologi, antropologi, serta perubatan dari Rusia yang menjadi salah satu individu rujukan paling asas bagi sistem pendidikan di Malaysia melalui penemuannya tentang teori tingkahlaku. Ivan Pavlov menerima Anugerah Nobel dalam bidang Fisiologi Perubatan pada tahun 1904 dan merupakan individu yang sangat berpengaruh sewaktu hayatnya sehingga teorinya dikembangkan lagi oleh Carl Jung.

Beliau menggunakan anjing sebagai subjek eksperimen dan membuktikan tingkahlaku haiwan adalah tindakbalas atas apa yang dipercayainya. Dalam eksperimen tersebut, anjing akan diberi makanan dan tindakbalas seperti penghasilan air liur diperhatikan. Kemudian, makanan akan diberikan kepada anjing tersebut setiap kali loceng dibunyikan. Setelah beberapa lama langkah ini dilakukan, eksperimen disambung dengan membunyikan loceng tanpa memberi makanan kepada anjing tadi. Ternyata, anjing tersebut masih mengeluarkan air liur akibat loceng yang dibunyikan walaupun tiada makanan yang diberi.

Mengapa ini berlaku? Secara ringkasnya, anjing tersebut telah diyakinkan dengan pengulangan sistem loceng dan makanan sehingga ia yakin makanan akan diberikan setelah loceng dibunyikan – walaupun sebenarnya tidak. Dan hari ini, teori ini diajar kepada kesemua bakal guru tetapi ibrah penemuan ini tidak disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

Sayang sekali penggubal sistem dan pihak yang berkaitan tidak dapat membezakan antara manusia dan anjing sehingga tidak mempedulikan kebejatan mungkar yang berada di sekeliling masyarakat saban hari!

Akhlak Intinya Aqidah

Perilaku manusia iaitu akhlak merupakan satu bentuk perbuatan yang dinilai sebagai baik oleh naluri kemanusiaan itu sendiri. Namun, sandaran penilaian akhlak kepada naluri kemanusiaan semata-mata nyata menjadi perdebatan yang hebat dalam kalangan ahli jiwa. Penilaian sebegini jelas mempunyai percanggahan pendapat yang sangat kritis terutama dari sudut perkara-perkara yang berbentuk metafizika.

Sebab itulah budaya hidup gay serta lesbian yang diterima di Barat langsung menjadi tentangan yang hebat di negara-negara lain terutama di Malaysia akibat perbuatan ini dinilai sebagai tidak bermoral oleh kebanyakan masyarakat di sini. Budaya jijik sebegini diterima di Barat atas dasar pandangan alam Barat yang lebih mengutamakan kebebasan hak individu dalam melakukan perkara-perkara baharu yang di anggap sebagai moden. Pandangan alam sebegini ternyata songsang atas ukuran naluri manusia yang dididik dengan keilmuan yang sahih lagi benar – pendidikan Islam.

Oleh sebab itulah di dalam Islam akhlak seseorang manusia dinisbahkan kepada al-Qur’ān serta segala perilaku, perkataan dan pembenaran oleh RasuluLlah SAW iaitu al-Sunnah. Malah, kayu ukur akhlak sebegini akan kekal sejak daripada kewafatan RasuluLlah SAW sehinggalah Hari Kiamat nanti. Ukuran inilah yang menjadikan umat Islam senantiasa menilai tingkahlaku mereka sama ada mematuhi piawaian yang digariskan oleh Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW atau tidak.

Maka, walau di mana umat Islam berada, walau pada bila-bila masa umat Islam bertindak, mereka akan melakukan yang terbaik dan selaras dengan anjuran yang diketengahkan di dalam Islam – bukan lakonan semata-mata seperti yang dibuat-buat di hadapan kamera atau di khalayak ramai sebagai puji-pujian palsu.

Aqidah yang ditanam subur di dalam jiwa manusia ini akan menumbuhkan pohon akhlak yang benar-benar memahami tujuan penciptaan manusia di dunia. Oleh itu, walau di tempat yang tersorok sekalipun, manusia yang terdidik sebegini percaya sepenuhnya bahawa Allah Maha Melihat dan seterusnya melakukan perkara-perkara yang baik bersandarkan kebaikan yang dianjurkan di dalam Islam.

Rasulullah SAW Sebagai Suri Teladan

Kedatangan Nabi Muhammad SAW dalam masyarakat Arab jahiliyyah tatkala mereka di ambang kehancuran merupakan satu rahmat yang terlalu tinggi nilainya dari Allah SWT. Pada waktu itu, masyarakat Arab jahiliyyah kehilangan adab sebagai manusia sehingga menimbulkan pelbagai kerosakan sistem kehidupan mereka baik dari sudut sosial, politik, mahupun akhlak.

Akhlak serta percakapan baginda RasuluLlah SAW yang begitu menyenangkan masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu telah menarik hati masyarakat dalam menerima Wahyu yang disampaikan oleh baginda RasuluLlah SAW. Namun, segelintir manusia yang masih ego serta mementingkan kesenangan duniawi ingkar atas kebenaran yang dibawa oleh RasuluLlah SAW sehingga mereka memusuhi malahan membenci baginda walaupun baginda menyampaikan risalah da‘wah dengan jalan yang paling berhikmah.

Pada ketika itu baginda RasuluLlah SAW dan para Sahabat baginda yang memegang teguh pendirian sebagai muslim ditentang hebat sehingga ada yang disiksa hingga terbunuh. Majoriti masyarakat ketika itu sangat tidak menyenangi kebenaran yang dibawa baginda kerana perhitungan mereka hanyalah semata-mata demi kepentingan harta benda yang tidak kekal lama. Kebenaran tersebut bagi mereka ternyata menyebabkan kepentingan duniawi yang dinikmati selama ini akan tergadai.

Tentangan demi tentangan, ditambah pula dengan tomahan palsu yang dikenakan ke atas umat Islam ketika itu diterima dengan hati yang menyerah kepada Allah SWT serta baginda RasuluLlah SAW secara total. Akibat keteguhan baginda RasuluLlah SAW serta para Sahabat yang sama-sama memperjuangkan aqidah ini, kita hari ini dapat menikmati kebahagiaan yang hakiki yang menjadikan pertemuan kita dengan Allah SWT di Akhirat sana sebagai tujuan hidup.

Malah, baginda RasuluLlah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Sayang seribu kali sayang, Nabi junjungan besar kita hari ini hanya dislogankan ketika Maulidur Rasul serta diselitkan Hadith baginda di celahan program televisyen serta iklan yang berteraskan budaya sesat yang diperangi oleh baginda RasuluLlah SAW sendiri ketika hayat baginda. Penghinaan sebegini dilihat sebagai norma masyarakat bilamana tiada seorang pun muslim di Malaysia yang bangkit lalu membela kesucian teras Islam yang dipermainkan sebegitu rupa. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita atas kelalaian diri kita sendiri.

Cegah, Bukan Ubati

Perilaku serta risalah da‘wah yang disampaikan oleh baginda RasuluLlah SAW sebenarnya merupakan rujukan utama umat Islam dalam memandu kehidupan manusia menuju hakikat penciptaan mereka di dunia dan tujuan hidup mereka setelah dibangkitkan di Akhirat kelak. Peringatan baginda RasuluLlah SAW ini adalah hadiah yang tidak ternilai kepada umat akhir zaman dalam membentuk masyarakat yang benar-benar faham serta yakin tentang kehidupan yang bahagia serta sejahtera dalam erti kata yang sebenarnya.

Pelbagai kerosakan dalam kalangan muda-mudi hari ini terutamanya, sepatutnya dapat dicegah lebih awal lagi sehingga tidak menimbulkan sebarang kerosakan sistem kehidupan bermasyarakat. Peribadi contoh oleh baginda RasuluLlah SAW serta penghayatan terhadap faham ilmu dan kebahagiaan yang benar yang dibawa melalui al-Qur’ān seharusnya disampaikan kepada seluruh masyarakat sedari kecil lagi.

Penularan budaya rempit yang menyebabkan kematian beberapa mangsa yang terlibat baru-baru ini dilihat sebagai ‘menang sorak kampung tergadai’. Slogan-slogan berbaur kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara selepas kemerdekaan mengisi hampir setiap ruang media sehingga masyarakat benar-benar percaya bahawa negara ini mencapai suatu tahap kehidupan yang memuaskan tanpa melihat dengan mata hati bahawa masyarakat hari ini tidak ubah seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi.

Filem-filem yang mempromosi budaya rempit dan gejala sosial diberi ruang yang cukup besar semata-mata ingin mengaut keuntungan atas kehebatan aksi-aksi samseng serta kegagahan para pelanggar salahlaku undang-undang. Dengan alasan ‘mendalami jiwa rempit’, semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kemungkaran rasmi ini dilihat seolah-olah sebagai hero bilamana mengenengahkan realiti masyarakat di dalam media massa.

Maka, pengajaran apa yang benar-benar dijadikan asas kehidupan oleh para penonton dan pembaca media massa? Adakah dengan memperbesarkan isu gejala sosial dengan penyampaian yang menyimpang sebegini dapat memberi kesedaran yang benar-benar meresap ke dalam jiwa anak-anak muda sehingga mereka takut untuk melakukannya?

Gejala sosial hari ini seperti air yang melimpah daripada sebuah kolah. Kebanyakan masyarakat terutama politikus serta pihak berkuasa berusaha menimba air yang melimpah untuk dibuang bagi mengelakkan kawasan di sekeliling kolah kotor dan berbahaya akibat licin. Tiada sesiapa yang berani bangkit dan menutup pili – punca air melimpah – kerana yang membuka pili adalah diri mereka sendiri!

Pembatal Pendidikan

Pendidikan hari ini di ambang kerosakan yang benar-benar membimbangkan. Kebimbangan ini bukanlah hanya lafaz di mulut atau lagak kepura-puraan di hadapan kamera, tetapi lahir daripada kefahaman ilmu yang sahih hasil adab didikan yang sempurna sehingga cetusan rasa dan tingkahlaku daripadanya terbit melalui kesedaran manusia itu sendiri tentang hakikat kehidupan.

Guru-guru hari ini seolah-olah menjalankan tanggungjawab yang sangat sia-sia bilamana mengajar di sekolah dengan bersungguh-sungguh. Separuh hari yang digunakan di sekolah oleh murid-murid dalam memahami erti ilmu serta hakikat kehidupan dibatalkan sepenuhnya dengan lambakan kesesatan yang nyata hasil dakyah pihak media yang tidak bertanggungjawab. Iklan-iklan di televisyen serta drama-drama palsu yang memperlihatkan kepada anak-anak muda erti kehidupan terletak kepada wang serta wanita diberi anugerah tertinggi setaraf martabatnya seperti pencapaian para cendekiawan ilmu. Ini memberikan fenomena yang sangat bertentangan dengan pembelajaran murid-murid di sekolah. Tatkala guru di sekolah mendidik anak murid, ada ‘guru’ di luar sekolah yang membangsatkan anak murid!

Jadi, mengapa harus diteruskan usaha mendidik anak murid di sekolah jika masih dungu lagi para pengawal sistem media yang hanya mementingkan rating program yang diterbitkan sehingga sanggup menyelitkan unsur-unsur negatif sebagai pelaris?

Kotoran di hati harus dibersihkan dahulu sebelum dimasukkan ilmu yang benar ke dalam jiwa murid-murid. Mana mungkin perkara ini berjaya dilakukan jika media masih mempengaruhi masyarakat dengan memaksa agenda sesat mereka disumbat ke dalam minda. Maka, tugas guru menjadi lebih berat lagi – mendidik anak murid serta membentuk sistem kekeluargaan masyarakat yang benar-benar memahami tujuan pendidikan sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

Hujah Atas Ilmu, Bukan Sangkaan

Sebilangan masyarakat memberi komen negatif terhadap gejala sosial yang berlaku saban hari memperlihatkan kepada kita kesedaran yang timbul benar-benar memberangsangkan. Namun, harus diingat bahawa pendapat masyarakat kebanyakan tidak boleh dijadikan ukuran tertinggi dalam menilai cara-cara menangani gejala sosial yang semakin merebak gara-gara kebiadapan pihak media yang mencari keuntungan hasil kesesatan mereka yang ditampilkan di dalam media massa.

Kajian atas ilmu yang sahih serta adil sepatutnya menjadi kayu ukur dalam membincangkan permasalahan media dan gejala sosial. Pencegahan di peringkat awal sepatutnya dapat dijalankan, tetapi atas campur tangan politik serta pengaruh wang, kemungkaran dengan rasminya di‘halal’kan oleh sebilangan besar masyarakat untuk bertapak kukuh dalam media.

Malah, cadangan serta komen daripada pemimpin tertinggi negara sekalipun dilihat sebagai ‘melepaskan batuk di tangga.’ Keseriusan tindakan yang sepatutnya di ambil dalam mencegah kerosakan akhlak dalam kalangan remaja harus disandarkan kepada keilmuan yang sahih lagi benar, bukan semata-mata atas jawatan atau kuasa yang disandang. Jika perkara sebegini masih berlanjutan, tidak mustahil suatu hari nanti negara akan membenarkan segala macam kemungkaran akibat pihak berkuasa yang tidak sanggup lagi menanggung kos mengubati gejala sosial yang semakin meruncing.

Ternyata aqidah umat Islam hari ini masih rapuh sehingga sanggup mengenepikan hakikat kehidupan di dunia sebagai pinjaman serta mempermainkan hasrat murni sebilangan kecil masyarakat yang memperjuangkan kebenaran.

Hati, Mata, dan Telinga

Allah SWT dengan keras memberi amaran kepada manusia yang apabila disampaikan kebenaran kepada mereka, mereka masih lagi membiakkan lagi kemungkaran di muka bumi. FirmanNya di dalam al-Qur’ān:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti Keesaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” [QS al-A‘rāf 7:179]

Sungguh, keterangan Allah SWT ini jelas serta benar bagi umat manusia menginsafi perilaku mereka saban hari. Bagi mereka yang benar-benar memahami tujuan penciptaan mereka di dunia ini, perjuangan dalam menegakkan kebenaran masih berlangsung dengan meletakkan Allah SWT sebagai sebaik-baik penolong dan pelindung. Bagi mereka yang ragu-ragu dengan kebenaran al-Qur’ān, pelbagai alasan yang sengaja direka bagi menyedapkan hati mereka sendiri dijadikan sebagai sandaran rapuh dalam meneruskan kembali usaha melipatganda kepentingan duniawi mereka yang bakal menghancurkan jiwa raga mereka sendiri daripada sudut pandang hakikat kehidupan.

Wahai guru, didiklah anak muridmu menjadi sebenar-benar manusia, bukan membela nafsu masyarakatmu yang semakin menggila.

*tajuk artikel ini bukan berniat untuk mencela kerjaya guru, namun kegelisahan yang amat mendalam serta kesesakan jiwa yang semakin menebal memberikan saya keupayaan untuk melonjakkan kesedaran para guru bahawa di luar sekolah masih ada ‘guru’ yang membatalkan didikan yang kita berikan selama ini di dalam sekolah. Kekecewaan saya sangat mendalam, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui isi hati ini. “Ampunilah dosa kami Ya Allah, kerana gagal mendidik generasi kami dalam mengenal serta mencintaiMu.”

Disumbangkan oleh: `Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang.
Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

KRISIS PERAK: TANGGUNGJAWAB SIAPA?


Mengulas tentang kemelut terbaru politik Perak, Tuan Nobisha membangkitkan tentang hak rakyat, hak ADUN, hak Sultan dan hak mahkamah [sila baca di sini].

Entah kenapa, sejak dulu lagi saya memang tidak berkenan dengan hujah “siapa yang berhak” kerana saya lebih suka jika sesuatu perbincangan itu menjurus kepada “tanggungjawab siapa”?

9 bulan lalu, saya pernah mengirimkan artikel yang bertajuk “Antara hak dan tanggungjawab?” di blog ini [sila baca di sini]. Antara persoalan yang saya bangkitkan adalah:

4) Banyak kes-kes penceraian di mahkamah syariah yang tertangguh dan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Si suami dan si isteri sering berbalah mengenai hak mereka sebagai suami atau isteri. Mana lebih utama di antara hak dan tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri?


Kembali kepada isu politik Perak, saya tidak fikir isu hak yang perlu dijadikan isi utama perbincangan. Apa yang lebih penting pada waktu ini adalah mengenai siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu di Perak ini secepat mungkin.

Jika kita mahu berbalah tentang hak, barangkali kemelut di Perak akan terus berpanjangan. Sebaliknya, jika kita berbalah tentang “siapa yang perlu bertanggungjawab”, kemelut di Perak boleh mendapat penyelesaian.

Lalu, persoalan yang perlu kita tanya kini adalah:

1) Apakah tanggungjawab Nizar dan Zambry?
2) Apakah tanggungjawab mahkamah?
3) Apakah tanggungjawab ADUN yang melompat?
4) Apakah tanggungjawab pengundi?
5) Apakah tanggungjawab Sultan Perak?

Akan bersambung nanti…



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in | 7 comments [ More ]

APA KEPUTUSAN SULTAN?

1Malaysia mungkin sedang menantikan keputusan mahkamah rayuan.

1Dunia mungkin sedang menantikan kiriman faks yang barangkali mengandungi ayat di bawah ini:

Menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perak... adalah dengan ini dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Perak telah memperkenankan untuk membubarkan DUN Perak pada...


Sementara menunggu ianya menjadi realiti, apa kata kita layan dulu video klip di bawah ini...



So, do you stand by Nizar or Zambry?



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in | 1 comments [ More ]

ZAMBRY BERJAYA HALANG NIZAR?


Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Sumber: Malaysiakini



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in | 3 comments [ More ]

NIZAR MENANG! APA KESUDAHANNYA?


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi benar-benar memalukan Barisan Nasional kerana mahkamah memutuskan, YB Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Ternyata kaedah yang telah digunakan oleh BN untuk menawan semula Perak didapati bertentangan dengan perlembagaan dan juga undang-undang tubuh negeri Perak.

Natijahnya, sejak 6 Februari lalu, Perak telah ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang tidak sah sehingga berlakunya sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan Raja Nazrin terpaksa menunggu lebih 5 jam untuk merasmikan sidang DUN yang begitu kontroversi pada minggu lalu.

Bahkan juga, 64 rakyat Malaysia terpaksa ditahan dalam lokap, beribu anggota polis terpaksa dikerah untuk mengawal keadaan dan entah berapa juta wang rakyat yang terpaksa digunakan untuk membiayai operasi itu.

Foto Speaker DUN Perak yang diusung keluar secara paksa sudahpun ditonton oleh berjuta penduduk Malaysia dan dunia. Nama Perak dan Malaysia sudah pun terjejas di mata dunia, akibat sikap terburu-buru kerajaan BN yang mahu menawan semula Perak sepertimana yang telah dijelaskan oleh Tun Mahathir sebelum ini.

Manakala gelaran MB haram yang diberikan kepada Zambry selama ini sudah terbukti benar. Beliau yang hanya menurut kata ‘orang atasannya’ terpaksa menanggung malu yang amat sangat. Keluarganya juga terpaksa menanggung aib yang amat berat.

Tatkala banyak pihak meramalkan keputusan mahkamah akan memihak pada BN, ternyata mahkamah mempunyai alasan untuk mengubah persepsi itu.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).


Esok pagi, Nizar akan memohon untuk menghadap Sultan Perak. Jika diperkenankan, sudah pasti Nizar mahu mengusulkan kepada Sultan agar DUN Perak dibubarkan secepat mungkin. Persoalannya kini, adakah Sultan akan bersetuju dengan permintaan itu?

Manakala Najib pula memberitahu wartawan, BN akan membuat rayuan secepat mungkin. Adakah Sultan Perak mahu menunggu kes rayuan itu didengar terlebih dahulu sebelum Baginda mahu memutuskan untuk membubarkan DUN Perak?

Pada saya, adalah lebih afdal jika Sultan Perak membubarkan DUN Perak dan BN pula hendaklah membatalkan hasrat mereka untuk membuat rayuan kes itu di mahkamah. Biarkan rakyat jelata membuat keputusan. Jika BN fikir pilihanraya kecil satu pembaziran, boikot sajalah pilihanraya kecil itu.

Bagaimanapun, saya tidak fikir Sultan mahu membubarkan DUN Perak. Apapun, keputusan Sultan esok bakal menentukan samada kemelut politik Perak akan berakhir ataupun ianya akan terus berpanjangan.



TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini

| posted in | 4 comments [ More ]
Ingin beriklan di sini? Klik di sini sekarang!

Nak tahu cara dapatkan FREE streamyx?

Klik sini dapat duit! Biar betik?

"Setiap Klik Anda Membantu Blog Ini Untuk Berkembang"

KALIMAH ALLAH