Ada penyokong PAS yang marah dengan Presidennya bila isu kerajaan perpaduan tidak mendapat kata putus; samada mahu diteruskan ataupun ditamatkan serta-merta.
Mereka yang marah itu berpendapat, Haji Hadi dan Ustaz Nasha mahu membawa PAS masuk dalam UMNO. Itu yang mereka tak dapat terima. Bagi mereka, kalau PAS nak bergabung dengan UMNO, itu kerja gila!
Tatkala dunia sedang dilanda selsema babi yang kini dikenali sebagai Influenza A (H1N1), PAS pula diberitakan sedang dilanda virus H1N1 yang merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh Hadi dan Nasha.
Jika wabak ini tidak dapat dikawal dengan berkesan, berkemungkinan besar PAS akan diserang penyakit ‘pecah-belah’. Kononnya, tanda-tanda itu sudah ada.
Melihat kepada telatah para penyokong PAS yang cepat melatah dengan isu kerajaan perpaduan, media yang dikuasai BN terus mempergunakan isu ini sebagai bahan kempen mereka untuk melemahkan kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat di mata pengundi.
Sepatutnya, penyokong PAS tidak perlu melatah bila media BN memainkan isu ini. Lagipun bukan mudah berita PAS mahu menjadi paparan utama di media BN. Peluang ini seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mengajak seberapa ramai ahli UMNO berpadu tenaga dengan PAS.
Yang dapat difahamkan ketika ini, isu PAS nak masuk UMNO memang tidak pernah bermain di kepala Presiden PAS. Dalam ucapan pergulungannya, beliau masih mempertahankan pendirian yang PAS tidak akan bergabung dengan BN. Yang ingin dilakukannya hanyalah berunding untuk masa depan umat Islam di negara ini.
Pada beliau, UMNO kini ibarat kapal yang sedang karam. Sudah tiba masanya ahli UMNO berhijrah ke kapal PAS dan berpadu tenaga untuk mengukuhkan kedudukan PAS. Lihat sahaja bagaimana kaum Cina sanggup berpindah dari satu kapal ke kapal yang lain untuk memastikan survival kaum itu dapat diteruskan. Misalnya di PRK Kuala Terengganu, mereka menyokong UMNO dan PRK Bukit Gantang, mereka menyokong PAS.
Hari ini mungkin kaum Cina sedang berada di kapal DAP, esok lusa mereka mungkin kembali ke kapal MCA atau Gerakan. Orang Melayu dan Islam juga harus bersikap begitu. Apa salahnya orang PAS membantu ahli UMNO yang sedang ‘kelemasan’ dan apa salahnya jika orang UMNO mengambil tali bantuan yang sedang dihulurkan oleh orang PAS?
Keupayaan dan kemampuan PAS menjadi pemimpin tidak dapat dipertikaikan oleh kawan dan juga lawannya. Sebagai contoh, kerajaan PAS mampu bertahan di Kelantan biarpun dengan 1 majoriti. Apa yang berlaku di Perak baru-baru ini jelas menunjukkan ketidakupayaan PKR dan DAP dalam konteks melahirkan pemimpin yang setia kepada parti dan perjuangan mereka.
Selama ini, PAS sudah biasa tewas dan menjadi pembangkang di peringkat pusat. Tatkala PAS sedang bersinar sebagai parti yang mampu menjadi peneraju kepimpinan di negara ini, PAS tidak angkuh. Sebaliknya PAS sanggup menghulurkan tangannya untuk membantu mereka yang sedang lemah, khususnya umat Islam di negara ini.
Apa yang cuba dilakukan kini adalah sesuatu yang baik dan terpuji. Tidak sombong ketika kuat dan tidak malu ketika lemah.
Dalam ayat 25 Surah At-Taubah, Allah SWT mengingatkan kita supaya tidak merasa megah dengan kemenangan yang kita perolehi serta bilangan kita yang ramai kerana bilangan yang ramai itu belum tentu mendatangkan apa-apa faedah.
Hari ini, umat Islam adalah umat yang teramai di muka bumi. Malangnya, kedudukan Islam tidak pula sekuat bilangan umatnya. Negara-negara Islam ternyata memiliki sumber minyak yang besar, akan tetapi ekonomi negara-negara Islam tidaklah sehebat mana.
Umat Islam kini memang hebat dalam bab berpecah-belah. Dari Palestine ke bumi Malaysia, umat Islam dilihat begitu sukar untuk bersatu demi membentuk perpaduan ummah yang memungkinkan kegemilangan Islam kembali diagungkan. Hanya kerana perkara-perkara kecil dan perebutan kuasa, umat Islam suka berkelahi daripada berkompromi.
Kini PAS dianugerahkan Allah dengan harta yang berbentuk kuasa. 2 negeri diizinkan oleh Allah untuk diterajui PAS setelah Perak tumbang ke tangan BN. Jika benar PAS mahu bersatu dengan UMNO, PAS boleh menerajui kembali Perak dan membentuk kerajaan di Selangor dan Terengganu. Tetapi itu tidak dilakukan. PAS menolak idea kerajaan campuran tetapi membawa idea kerajaan perpaduan.
Perpaduan yang dimaksudkan itu adalah untuk PRU ke 13. Orang bukan Melayu kini tidak lagi melihat UMNO sebagai parti yang layak menerajui negara. Kegemilangan UMNO dalam lipatan sejarah negara bukan lagi sesuatu yang mengujakan bukan Melayu. UMNO kini dilihat sebagai parti yang dikuasai mereka yang korup dan tidak berkredibiliti.
Jika situasi ini berterusan, UMNO bakal berkubur pada PRU ke 13. Pada waktu itu, iklim politik Melayu/Islam akan menjadi huru-hara. Bayangkan pada waktu itu UMNO hanya menguasai negeri dan bukannya kerajaan pusat. Manakala bilangan kerusi yang dimenangi PAS pula tidak memungkinkan PAS dapat menerajui kepimpinan pusat.
Persoalannya nanti, adakah PKR yang membawa idealogi “ketuanan rakyat” akan lebih mendengar suara PAS atau suara DAP?
Ketidaksefahaman PAS dan DAP dalam isu negara Islam serta perlaksanaan hudud bukan lagi rahsia umum. Sehingga kini, belum ada lagi kata putus mengenai pendirian Pakatan Rakyat tentang idealogi pemerintahan PAS. Setakat ini PKR, DAP dan PAS hanya bersetuju untuk menghormati artikel 11 Perlembagaan Malaysia.
Apa yang dipersetujui itu sudahpun dilakukan oleh Barisan Nasional sejak dulu. Jadi, apa bezanya?
Bagi penyokong PAS, sudah tentu mereka ingin melihat PAS merealisasikan agenda Negara Islam yang diperjuangkan oleh mereka sejak dahulu. Apa gunanya PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat dan hanya mencapai kemenangan sebagai parti sampingan pada PRU ke 13 nanti sepertimana yang berlaku hari ini?
Bagi penyokong UMNO pula, sudah tentu mereka ingin melihat survival Melayu dapat diteruskan. Apa gunanya orang UMNO terus menyokong UMNO jika parti itu tidak lagi mampu menjadi pemerintah pada PRU ke 13 nanti? Bukankah lebih baik jika mereka menyokong PAS kerana Islam dan Melayu itu memang berkait-rapat. Jika Islam dimertabatkan, orang Melayu juga akan mendapat tempiasnya.
Memanglah isu ini begitu kompleks dan jika tidak diuruskan dengan betul, ia boleh membawa perpecahan kepada PAS. Namun itu tidak bermakna yang PAS tidak boleh mencuba. Jika rakyat benar-benar mahu memilih Pakatan Rakyat sebagai pemerintah yang baru, maka rakyat juga harus membuat keputusan, siapakah yang lebih layak menjadi peneraju Pakatan Rakyat?
Tepuk dada, tanya selera!
Jangan sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat! Ingatlah ayat 13 Surah Asy-Syuura, "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".
Sudah tiba masanya orang Melayu/Islam bersatu untuk membentuk satu kuasa yang memungkinkan untuk mereka menggubal satu dasar yang mendaulahkan Islam dan menghancurkan sekularisme yang telah sekian lama mencengkam potensi ummah di negara ini.
Dari ‘Aisyah r.a, dari Nabi s.a.w beliau bersabda:”Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling suka bermusuhan.” (Riwayat al-Bukhari)
TIPS:1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar
FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini!
Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda.
Klik je sini